Pages

Sunday, October 19, 2014

Setinggi Mana Impian?

          Semua orang ada impian.Dan setiap impian itu berbeza.Ada yang katanya impiannya kecil sahaja.Tak kurang juga yang mempunyai impian yang besar.Impian untuk memiliki sesuatu, impian untuk menjadi seorang yang berjaya, impian untuk mengelilingi dunia, impian untuk menjadi insan yang lebih baik daripada semalam dan pelbagai lagi.Impian mendorong kita untuk berusaha.Impian menjadikan kita fokus terhadap kehidupan.Malah impian sebenarnya menjadikan kita seorang yang berani kerana kita berani menyimpan impian berkenaan.

          Berapa ramai sebenarnya berjaya menjadikan impian itu satu kenyataan?Sehebat mana kita berani menyimpan impian, mampukah untuk kita menghadapi andai ditakdirkan sebelum mencapai impian itu kita diuji dengan pelbagai rintangan?Nak bertahan atau menyerah?

          Ada antara kita mampu diuji berkali-kali tanpa kenal erti menyerah.Berundur itu bukan pilihan katanya.Kenapa perlu mengaku kalah hanya kerana diuji?Ujian itu menjadikan diri lebih bersemangat untuk merealisasikan impian.Jatuh tersungkur sekalipun masih terus bangkit melawan demi memburu impian.Kental semangat mengutip sisa impian yang berkecai.Menahan sabar dengan setiap kata yang dilempar.Masih memberikan senyuman buat mereka yang menjadi musuh.Hakikatnya tidaklah sekuat manapun kudrat yang tinggal.Namun kerana impian yang diidamkan, gagahkan diri jua untuk menongkah cabaran.

          Bukan semua orang mempunyai semangat yang sama kan?Diuji sekali dua mungkin dapat lagi bangun untuk mengejar impian.Andai kata diuji setiap kali bangkit untuk berlari semula, apakah harus bertahan?Siapa tahan untuk menerima kegagalan?Lalu mereka katakan cukuplah untuk mengejar impian ini.Ada baiknya impian ini berhenti.Penat untuk menerima keperitan daripada kegagalan.Maka dengan mudahnya mereka ini melupakan impian yang dulunya berani mereka semai.Namun bukankah kegagalan seharusnya menjadikan kamu sedar bahawa ada kelemahan yang harus kamu perbaiki?

          Lalu, setinggi mana impian yang berani kamu letakkan?


No comments:

Post a Comment