Pages

Wednesday, June 9, 2010

Putus Cinta!! Patah Hati!!!


Biarkanlah..biarkan aku
Hidup sendirian
Tak inginku mengenangkan kisah lama
Biarkanlah..biarkan aku
Hidup sendirian
Kerana hati ini telah
DILUKAI...

Oh mengapa tiba-tiba saya mahu berbicara tentang putus cinta dan patah hati ni?Oh adakah saya orang yang dapat bercerita tentang perkara ini dengan baik?Oh mungkinkah akan ada hati yang terluka andai membaca apa yang akan saya tulis?

Jawapannya:Saya mahu berkongsi pesanan buat anda yang mungkin pernah,sedang dan bakal mengalaminya.Saya tak kisah kalau orang kata saya tak layak untuk bercerita tentang isu ini memandangkan saya tidak pernah bercinta dan dilukai (tahukah anda berapa kali hati saya terluka sebenarnya?) Dan andai ada hati yang terluka, saya mohon ampun.Saya cuma mahu anda kembali mendapat semangat dan meneruskan hidup ini walau CINTA MELUKAI ANDA.

Lumrah biasa dalam kehidupan.Apabila lelaki dan wanita itu ditemukan rasa mereka, maka bertautlah kasih, terciptalah sayang dan terbentuklah satu perhubungan yang sering dinamakan BERCINTA.Peringkat awal memanglah keseronokkan sahaja yang dirasa.Boleh diibaratkan seperti gula-gula kapas yang berwarna merah jambu tu.Cantik dipandang, menimbulkan rasa keterujaan untuk memilikinya dan manis sekali rasanya.

Tapi awas..sesuatu yang manis itu boleh mendatangkan kesan buruk nanti.Kalau gula yang berlebihan boleh mengakibatkan diabetes begitu juga dengan cinta.Selepas habis kemanisan, anda akan melalui fasa yang sangat berbeza setiap orang.Bagi yang bijak melayari dugaan, insyaAllah mereka akan kekal.Namun jika ada yang kecundang, kamu harus tahu cara mengawal emosi,keadaan diri kamu serta mencari kembali kekuatan.Bukankah kamu selalu berkata andai kita tidak bersama lagi, kau akan membawa separuh kekuatanku?Jom kita sama-sama cari kembali kekuatan selepas putus cinta.

1.Jangan menyesal
Ini adalah perkara pertama yang perlu anda sematkan dalam diri.Andai anda menyesal dengan keputusan yang telah dibuat oleh dia atau anda sendiri untuk mengakhiri hubungan itu, maka janganlah kamu berharap untuk melalui peringkat pemulihan jati diri anda ini dengan jayanya.Anda hanya akan membuatkan diri anda sentiasa teringat akan si dia sahaja dan membantutkan proses mencari kekuatan anda kembali.

2.Terima dengan positif, jangan salahkan sesiapa
Anda harus menerima perpisahan anda ini dengan positif.Jangan hanya memandang negatif sahaja.Anda harus tahu bahawa perpisahan ini mungkin terbaik untuk anda dan si dia.Jika anda terus bersama, dapatkan anda dan dia bahagia?Ada hikmah disebalik setiap yang terjadi.Yang penting jangan saling menyalahkan diri anda atau si dia untuk perpisahan ini.Jika anda salahkan diri anda bermakna anda akan berhadapan dengan masalah keyakinan diri untuk kembali bercinta selepas ini.Jika anda menyalahkan si dia bermakna anda akan menanam rasa benci dan marah yang akhirnya memakan diri anda sendiri.

3.Anda adalah milik kekal Yang Maha Esa
Ketahuilah anda tidak kehilangan Allah SWT.Berceritalah kepada Dia Yang Maha Mendengar setiap keluh kesah anda dalam setiap doa-doa anda.Tidak kira masa dan waktu, jika anda terasa susah dan mula mengingati si dia, segeralah menyerahkan diri kepada Allah SWT.Pohonlah agar anda diberikan kekuatan,ketabahan dan kecekalan untuk hidup ini, dan janganlah dibiarkan anda bersendirian dalam kesusahan.Apabila anda mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa, insyaAllah anda akan kembali kuat.Ingat, cintailah Yang Maha Esa dan RasulNya melebihi cinta anda kepada sang kekasih yang telah pergi.

4.Hentikan tangisan,kembalilah tersenyum
Saya pernah katakan menangis itu perlu untuk meluahkan perasaan anda.Ya, saya tahu anda sedang bersedih kerana ditinggalkan dia namun fikirlah sampai bila harus anda menangis.Air mata darah sekalipun yang anda keluarkan daripada sepasang mata itu belum tentu dapat mengembalikan orang yang sudah tidak lagi mahukan anda.Cukuplah sekadar menangis beberapa ketika.Selepas itu, tekadlah untuk senyum kembali.Tak berbaloi sebenarnya menangisi sesuatu yang sudah bukan milik kita kan?Senyuman anda amat berharga untuk orang yang lebih tahu menghargai anda.

5.Jangan rasa kesepian,carilah teman
Selalunya mereka yang baru putus cinta, akan merasakan hidup mereka sangat kosong.Bangun pagi tidak lagi bersemangat, segala tugasan menjadi satu bebanan buat anda,mula mengalami stress dan akan mengakibatkan anda cepat moody.Jangan jadi begitu wahai insan.Kamu bukan bersendirian sebenarnya.Kamu masih punya teman-teman disisi.Lakukan sesuatu dengan teman-teman anda untuk membuatkan anda terlupa tentang apa yang sedang kamu lalui.Mungkin kamu boleh melakukan aktiviti kegemaran kamu seperti karaoke,bermain bowling,membeli-belah mahupun melakukan aktiviti lasak.Buatlah apa sahaja yang mendatangkan keseronokkan buat kamu.

6.Perbaiki penampilan diri, diri anda terlalu berharga
Mungkin salah satu punca mengapa anda putus cinta adalah kerana penampilan anda.Penampilan bukan sahaja meliputi aspek pemakaian, solekan mahupun apa sahaja yang berkaitan dengan kecantikkan.Penampilan juga berkait rapat dengan cara anda membawa diri.Mungkin anda tidak perasan akan sikap yang kurang disenangi si dia.Adakah anda membosankan dia?Atau anda tidak bijak mengekalkan kemanisan bercinta seperti di peringkat awal?Inilah peluangnya untuk memperbaiki kelemahan anda supaya diri anda akan kelihatan lebih berkenyakinan.Percayalah andai anda melakukan sedikit perubahan kepada penampilan anda hari ini, pasti banyak mata yang akan memandang anda.

7.Jangan takut untuk kembali bercinta
Hidup perlu diteruskan dan cinta akan terus menyapa anda apabila tiba masanya lagi.Kalau anda sudah bertemu insan lain wajarlah anda memberikan diri anda peluang untuk menikmati jatuh cinta buat kali yang seterusnya.Trauma yang pernah anda lalui dahulu tidak boleh menghantui hidup anda selama-lamanya.Ambillah semangat anak kecil yang belajar berjalan.Walau hanya bertatih dengan langkah kecil dan jatuh berulang kali, anak kecil itu tetap terus melangkah sehingga dia mampu berlari.Itulah anda suatu ketika dahulu.

Walau hanya sedikit sahaja pesanan yang mampu saya kongsikan, adalah besar harapan saya agar ia akan membantu anda serba sedikit untuk kembali kuat dan menjadi diri anda semula.Usahlah rebah kerana sakitnya cinta.Cinta seharusnya dinikmati dengan baik.Cintalah anda kepada mereka yang tidak pernah meninggalkan anda walau sesaat dan tahu menghargai anda.Itu lebih baik daripada mengingati insan yang melepaskan kebaikan anda.

No comments:

Post a Comment